Nuffnang Ads

Semendungnya awan dilangit.


Pada 4hb Ogos 2010 bersamaan 23 Syaaban 1431, telah kembalinya En Japlus B Abdullah ke rahmatullah. Pemergian beliau amat dirasai oleh anak dan seisi keluarga. Walaupun aku tidak berapa mengenali arwah, namun dari cerita mulut yang disampaikan oleh anak beliau dan kawan-kawan anaknya, aku dapat merasa kemesraannya dan keceriaan beliau.

Sempat jua aku melihatnya buat kali pertama dan kali terakhir semalam. Dari sudut rumah aku menatap wajahnya dalam keramaian orang, tenang dan bersih. Suasana jadi syahdu, sayu hati aku melihat tangisan dan esakan anak gadisnya dan anak bongsunya.. Ku tatap wajah ibunya penuh keredhaan, walaupun dalam hati bergenangan air mata.

Tatkala jenazah mula diusung keluar untnk disembahyangkan di surau berdekatan, hati aku resah dan sedih. Apakah akan terjadi pada anak yang ditinggalkan? Dengan siapakah si isteri mahu mengadu selepas ini? Kasih-sayang bapa dapatkah dirasai lagi? Pilu bila aku fikirkan. Namun setiap yang pergi telah pun di tetapkan oleh Allah S.W.T. Kita sebagai anak Adam dilahirkan dari tanah, dan dari tanah kita dikebumikan, dan dibangkitkan jua dari tanah.

Saat talkin dibacakan, terdiam sejenak para hadirin. Mengenangkan amal ibadah yang telah dibelakangkan. Diketika itu keinsafan menusuk aku. Takut dan gerunnya aku tiap kali barisan ayat talkin dibacakan. Ya Allah, aku memohon padaMu agar aku sentiasa terpelihara dari sebarang kejahatan dan kelalaian di dunia, kuatkanlah imanku jadikanlah aku anak yang soleh!

Kutatap semula wajah anak-anak beliau dan isterinya. Tiada gambaran dapatku coretkan disini betapa sedihnya kehilangan orang yang paling kita sayangi! Langkah demi langkah ku tinggalkan perkuburan islam itu. Berakhir sudah riwayat seorang lagi anak Adam. Gugur sudah sehelai daunan di pokok kehidupan. Walaubagai manapun, kehidupan masih perlu diteruskan, yang telah pergi tidak akan kembali lagi, tetapi kenangan akan sentiasa diingatan. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

No comments:

Post a Comment